Malaysia Dateline

PKP dilaksanakan di Kapit, Song Sarawak mulai esok hingga 15 Februari

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Kapit dan Song bermula 2 Februari 2021(esok).

JPBN dalam satu kenyataan media berkata, pelaksanaan PKP itu diambil sehingga 15 Februari depan berikutan kes peningkatan ketara Covid-19 di kedua-dua kawasan terbabit.

Kata JPBN, sebelum ini PKP juga telah dilanjutkan di Sibu dari 30 Januari sehingga 14 Februari depan.

“Pelaksanaan PKP Daerah Kapit dan Song akan berkuatkuasa pada 2 Februari 2021 jam 12.01 pagi dan berakhir sehingga 15 Februari 2021 jam 11.59 pagi.

“Sehubungan itu, orang ramai dan penduduk di kawasan berkenaan dapat memberi kerjasama sepanjang PKP dilaksanakan dengan mengikuti standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan,” ujar JPBN.

Jelas JPBN lagi, Daerah Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Beluru, Miri, Sibu dan Kuching adalah kekal berstatus merah selepas sejumlah 1,993 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lalu di kawasan tersebut.

“Setakat ini hanya sembilan daerah lain di Sarawak sahaja yang kekal berstatus hijau.

“Malah, semalam Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengisytiharkan satu lagi kluster baharu wujud di negeri ini iaitu Kluster Jalan Pengiran di Daerah Matu, Mukah.

“Kluster ini melibatkan sebuah tempat kerja di pusat pentadbiran daerah di Jalan Pengiran Matu,” kata JPBN.

Tambah JPBN, setakat semalam Sarawak telah merekodkan sebanyak 11 kluster yang masih aktif termasuk Kluster Jalan Pengiran Matu.

Kluster lain yang masih aktif ialah Kluater Tabong, Bau, Kluster Indah Riang, Kuching, Kluster Bedayan, Serian, Kluster Rakut, Miri, Kluster Bukit Sekubong, Sebauh,Bintulu, Kluster Jelita, Miri, Kluster Pasai, Sibu, Kluster Keranji Tabuan Kuching, Kluster Bah Sayap Miri, dan Kluster Stutong di Kuching.