Malaysia Dateline

PKP dilaksanakan di Sibu mulai tengah malam ini

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini hingga 29 Januari 2021.

JPBN berkata, langkah PKP itu diambil berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di bahagian ini.

“PKP di Bahagian Sibu adalah meliputi Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau berkuatkuasa pada 16 Januari 2021 jam 12.01 pagi hingga 29 Januari 2021 jam 11.59 malam iaitu selama 14 hari.

“Operasi standard prosedur (SOP) PKP ini akan diberitahu kepada orang awam hari ini manakala PKP Bersyarat untuk Bahagian Sarikei masih dikekalkan,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN turut menegaskan bahawa semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang masuk ke negeri ini dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan dikehendaki membuat ujian saringan RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum kemasukan ke Sarawak.

Jelas JPBN lagi, keputusan ujian mestilah negatif dan dilampirkan dalam permohonan enterSarawak dan arahan berkuatkuasa mulai 16 Januari 2021.