Malaysia Dateline

PKP dilanjutkan ke 18 Februari

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung lagi bermula Jumaat ini sehingga 18 Februari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini.

Katanya, kecuali Sarawak yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), PKP ini akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang.

“Semua SOP berkaitan akan dikeluarkan MKN dan mesyuarat juga mengambil maklum mengenai permohonan beberapa perniagaan untuk beroperasi seperti biasa.

“Kita mendengar permohonan mereka dan ia akan diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa teknikal.

“Mesyuarat ini akan meneliti permohonan mereka dan akan dibawa dalam sidang khas untuk pertimbangan,” katanya pada sidang media PKP, hari ini.

Katanya Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan kes harian di semua negeri masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positif dalam kluster adalah 20 peratus hingga 40 peratus.