Malaysia Dateline

PKP disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan disambung untuk tempoh dua minggu lagi berkuatkuasa 15 Jun depan sehingga 28 Jun 2021.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu.

Katanya, keputusan juga dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.

“Senarai positif atau negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.

“Mengenai senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19