Malaysia Dateline

PKP dua minggu di enam negeri bermula Rabu ini

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari, Rabu ini sehingga 26 Januari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 itu semasa menyampaikan Perutusan Khas sebentar tadi.

Enam negeri terbabit dalam PKP iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Menurutnya, kesemua negeri terbabit dikenalpasti sebagai negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Sementara itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh 14 hari.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan memutuskan sama ada PKP akan diteruskan atau ditamatkan sebelum tempoh dua minggu tamat.

“Rentas negeri dan rentas daerah juga tidak dibenarkan. Susulan larangan ini, operasi sekatan jalan raya akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 malam, Rabu 13 Januari 2021,” katanya.

Bagi negeri yang dikenakan PKP, pergerakan juga terhad di dalam lingkungan 10 kilometer radius sahaja dengan dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada di dalam kenderaan.