Malaysia Dateline

PKP: Kaedah pembelajaran efektif di dalam talian

Keadaan paradigma pembelajaran di Malaysia sewaktu COVID-19 telah berubah sewaktu pandemik yang mengubah norma pembelajaran. Para pendidik khususnya perlu mencari kaedah yang terbaik untuk mendidik para pelajar termasuk di IPTA sewaktu norma baru ini.

Menurut laporan daripada Hootsuite di Malaysia, kawasan yang diliputi internet ialah sebanyak 83 %, di mana 17% lagi kawasan tidak mempunyai akses. Untuk penggunaan perkakasan mudah alih, kepantasan capaian ialah 23.8 MBPS. Manakala untuk talian tetap, kepantasan capaian ialah 78.03 MBPS.

Sewaktu bicara minda di TV1 menerusi temuramah COVID-19: Peranan MOSTI mendepani cabaran di dalam Bicara Naratif, 14 April 2020, Khairy Jamaluddin ada mengutarakan bahawa terdapat jurang digital atau kemiskinan digital di kalangan sesetengah masyarakat di Malaysia.

Oleh yang demikian, keperluan mendidik masyarakat terutama di luar bandar dan golongan tertentu untuk celik Teknologi Maklumat (IT) adalah sangat perlu terutama di alaf baru ini.

Di dalam temubual Pendidikan di Astro Awani pada 16 April 2020, bersama Datuk Freida Mohd Pilus, Pengasas Sekolah Cempaka, beliau menekankan semua pelajar sekolah memerlukan aksess capaian untuk pembelajaran yang sempurna.

Manakala di dalam temubual yang sama, Yang Di Pertua PIBG SMK Paya Rumput Melaka, Dr Basharudin Mohd Sharif ada memberitahu akan peranan sektor swasta di dalam membantu pembelajaran anak-anak di sekolah.

Namun, di Malaysia penulis menyarankan, pembelajaran di dalam talian boleh dimanfaatkan dengan menggunakan beberapa kaedah pembelajaran yang effektif.

Pertama ialah peranan pendidik atau pembangun kandungan mata-pelajaran perlu mengenal siapakah penguna atau pelajar yang akan menggunakan pembelajaran dalam talian tersebut.

Seterusnya mereka perlu membuat analisis keperluan seperti berikut: Di manakah penguna berada?; Apakah perkakasan mudah alih atau komputer yang digunakan untuk pembelajaran dalam talian?; Bagaimana dengan persekitaran di kawasan pembelajaran pelajar?; Apakah kekangan terhadap akses jalur lebar?; dan Mengenal pasti strategi pembelajaran dalam talian yang bersesuaian terhadap penguna tersebut.

Di antara pendekatan pembelajaran di dalam talian yang dicadangkan ialah pembelajaran mikro.
Pembelajaran mikro ialah salah satu kaedah pembelajaran yang memecahkan kandungan pembelajaran yang besar kepada unit-unit yang lebih kecil.

Contohnya kaedah ini boleh diguna pakai menggunakan bantuan media sosial seperti Whatsapp dan dan aplikasi Telegram menerusi perkakasan mudah alih.

Kaedah pembelajaran ini sebagai contohnya boleh dijalankan daripada 5 minit dan paling maksima selama 10 miniti sahaja untuk satu-satu mata pelajaran sehari.

Kaedah ini boleh menggunakan persembahan secara mikro, audio siar (pod cast) secara mikro, grafik berinformasi, pembelajaran secara permainan serius, kaedah mikro-nugget, penilaian dan juga video penerangan.
Kaedah pembelajaran secara audio dalam talian sahaja boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah kekangan jalur lebar yang rendah.

Ini kerana rakaman audio tidak memerlukan sejumlah data yang tinggi untuk pembelajaran. Rakaman berupa audio siar boleh dijalankan dan boleh dimuat turun pada bila bila masa.

Di antara perisian yang mudah untuk digunakan melaksanakan rakaman audio siar ialah seperti tapak halaman sesawang bernama Anchor.

Tapak halaman sesawang Anchor ini membenarkan rakaman audio siar dijalankan dengan mudah. Selain daripada itu untuk pembelajaran dalam talian, kaedah menggunakan video pembelajaran boleh juga dilaksanakan.

Akan tetapi video tersebut perlu dikecilkan terlebih dahulu saiznya, sebagai contohnya kepada 80% daripada saiz asal.

Video rakaman boleh dijalankan paling maksima 5 minit sahaja untuk kaedah ini. Di antara perisian yang boleh digunakan untuk mengecilkan saiz video tersebut ialah seperti perisian bernama Handbrake dan Clipchamp utilities.

Selain daripada itu, terdapat kaedah dipanggil capaian bukan dalam talian (offline view). Kaedah ini digunakan sebagai contoh mengadakan tapak halaman sesawang ataupun halaman blog bersaiz kecil untuk tujuan pembelajaran dalam talian.

Maksudnya halaman tapak sesawang pembelajaran boleh dicapai menerusi perkakasan mudah alih bukan dalam talian di mana jua penguna berada.

Akses terhadap e-book berupa PDF juga boleh dilaksanakan mengikut kandungan mata pelajaran. Terdapat juga kaedah pembelajaran mikro untuk penilaian yang digunakan seperti kuiz yang boleh juga dilaksanakan di dalam talian.

Sebagai contohnya aplikasi seperti Quizziz ataupun Kahoot boleh digunakan untuk pembelajaran yang lebih interaktif.

Kaedah pembelajaran di dalam talian yang menggunakan teks seperti SMS boleh dilaksanakan mengikut kandungan mata pelajaran, topik, unit dan matlamat yang hendak dicapai. Kaedah ini tidak menggunakan data yang berat dan boleh dilaksanakan dengan mudah.

Sekiranya tiada pilihan lain, maka kaedah seperti CD ROM dan penggunaan perkakasan USB boleh dilaksanakan.
Kandungan pembelajaran didalam talian boleh disalin kedalam CD ROM ataupun USB dan kemudian diedarkan kepada para pelajar secara pos.

Menerusi perbincangan ini, maka jelas terdapat kaedah-kaedah pembelajaran dalam talian yang ringkas, mudah akan tetapi effektif, yang boleh dilaksanakan sewaktu PKP seperti yang dicadangkan.

Para pendidik sama ada di IPT ataupun sekolah seharusnya mengambil peluang menggunakan kaedah yang disarankan supaya terdapat kesinambungan pembelajaran walaupun terdapat kekangan seperti jalur lebar yang rendah.

Prof Madya Dr. Shamsul Arrieya Ariffin adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran, dan Multimedia Kreatif (FSKIK) UPSI Tanjong Malim Perak