Malaysia Dateline

PKP lebih varian dari Covid-19 kini jadi sebutan

Kenyataan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) mempunyai terlalu banyak kelemahan menjadi topik yang paling hangat dinyatakan dan ia boleh berubah-ubah (U-Turn) selepas dikritik orang ramai.

Ini menyebabkan, seorang pembaca berita TV3 sendiri, Raymond Goh berkata, PKP 3.0 mempunyai lebih varian dari virus Covid-19.

“Memang sah. #PKP mempunyai lebih varian dari virus,” tulis Raymond Goh menerusi Twitter beliau yang menyebabkan ia menjadi viral di kalangan pengguna Twitter dan lain-lain media sosial.

Sehingga berita ini ditulis, lebih 5,775 pengguna Twitter yang lain telah berkongsi kicauan ini (RT) manakala lebih 8,514 telah menunjukkan rasa suka dengan kicauan ini.

Sehubungan itu, bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengaku sahajalah bahawa mereka telah gagal dan anggota Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu ditukar.

“Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak (usah) malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain.

“Tidak payah ramai wakil polis dan tentera. Tidak perlulah ramai orang politik yang hanya mementingkan kepentingan politik,” katanya yang juga bekas ahli parlimen Kota Bharu.

Antara yang pelik tentang PKP 3.0 adalah orang ramai tidak dibenarkan makan di dalam restoran tetapi busker dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKP ini termasuk di restoran.

“Jadi kepada siapa para buskers ini nak hiburkan,” kata seorang pengguna Twitter, [email protected] Takeuchi ketika berkicau di Twitternya.

Sekurang-kurangnya dua perkara utama dalam PKP 3.0 menjadi u-turn selepas dikritik iaitu PKP untuk Kuala Lumpur dan kebenaran untuk melakukan senaman dan sukan semasa PKP 3.0 ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan PKP juga dikenakan ke atas Kuala Lumpur selepas dikritik oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Padahal sebelum itu, PKP 3.0 hanya dikenakan ke atas enam daerah di Selangor sahaja manakala Kuala Lumpur yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dari Selangor tidak dikenakan PKP.

Pada jam 11.30 pagi Rabu lepas, Dr Dzulkefly mengkritik PKP 3.0 dengan mempertikaikan kenapa hanya Selangor dikenakan tetapi Kuala Lumpur dikecualikan sedangkan kadar jangkitan di ibu kota jauh lebih tinggi dari Selangor.

Menurutnya, kadar insiden kes pandemik itu di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk adalah sebanyak 116 tetapi Kelantan mencatatkan kadar kes tertinggi sebanyak 331 diikuti Sarawak 273, Kuala Lumpur 225 dan Selangor 159.

Pada petangnya, Ismail Sabri terus mengumumkan PKP juga dikenakan ke atas Kuala Lumpur.

Semalam, Kementerian Belia dan Sakan mengumumkan beberapa jenis sukan dan reakreasi dibenarkan dalam kawasan PKP 3.0.

Ia berikutan kritikan hebat orang ramai terhadap tindakan melarang aktiviti sukan dan riadah semasa PKP 3.0 padahal tidak ada kajian dikemukakan untuk menyokongnya.

Antaranya, tiada ada sebarang bukti sains yang menunjukkan kawasan rekreasi menyebarkan virus Covid-19.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menggesa kerajaan untuk menggunakan data sejarah MySejahtera yang lalu untuk mengenal pasti berapa banyak kluster yang wujud disebabkan aktiviti sukan.

Ini berikutan keputusan kerajaan yang menggantung buat sementara segala aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ong berkata, sekiranya jumlah kluster tidak besar, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera membatalkan larangan berjoging dan bersenam di luar rumah, serta membenarkan gim dan pawagam dibuka semula dengan SOP yang ketat.