Malaysia Dateline

PKP: ‘Makan bawa pulang saja boleh’

Bagi negeri-negeri yang berada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan bawa pulang sahaja

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut operasi standard yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan penghantaran makanan juga masih dibenarkan beroperasi.

Sementara itu Muhyiddin berkata, bagi sektor ekonomi, kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu.

Lima sektor terbabit iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan serta aktiviti perdagangan antarabangsa.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing,” katanya ketika perutusan khas petang tadi.

Tambahnya lagi, bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu, arahan bekerja dari rumah akan berkuatkuasa.

Katanya, semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.