Malaysia Dateline

PKP: Pematuhan di Sarawak capai 96.4 peratus

Kadar peratusan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat hari kelapan fasa kedua di seluruh negeri Sarawak telah mencapai 96.4 peratus semalam.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, ia amat jelas apabila jumlah kenderaan dan orang ramai yang keluar tanpa alasan munasabah semakin berkurangan di negeri ini.

“Saya mengharapkan agar masyarakat di negeri ini akan terus memberikan kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Bagi tangkapan harian dalam tempoh 24 jam semalam adalah seramai 25 orang iaitu berkurangan dari tempoh sama kelmarin yang merekodkan 35 tangkapan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kuching.

Justeru, beliau berharap supaya masyarakat di negeri akan terus mematuhi PKP dan hanya keluar dengan alasan yang munasabah dan berkeperluan sahaja.

Aidi memberitahu sejak 18 Mac sehingga semalam, seramai 512 orang ditangkap kerana ingkar PKP.

Daripada jumlah tersebut, katanya seramai 383 orang telah didakwa dan kebanyakannya dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh dua minggu hingga tiga bulan dan didenda.

“Sehingga semalam, seramai 4,140 anggota polis ditugaskan menjalankan PKP yang turut dibantu 681 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA (397), Angkatan Pertahanan Awam (63) dan Polis Sukarelawan (PVR) seramai 79 orang.

“Selain sekatan jalan raya, anggota yang bertugas turut melakukan rondaan dan juga pemantauan melalui udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Pangkalan Sarawak,” jelas beliau lagi.