Malaysia Dateline

PKP: Penjaja di tepi jalan di Kuching diarah tutup

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengarahkan agar semua penjaja di tepi jalan diarahkan tutup dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Menerusi kenyataan Pengarahnya, Dr. Morshidi Ahmad, notis penutupan itu adalah selaras dengan pengisytiharaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang berkuatkuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, arahan tersebut adalah merujuk kepada surat yang telah dikeluarkan oleh Pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bertarikh pada 20 Mac lepas.

“Dengan ini dimaklumkan selaras dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini oleh Ketua Menteri Sarawak, maka semua penjaja di kawasan persendirian dan tepi jalan diarahkan tutup dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan kemudian.

“Arahan ini merujuk kepada surat yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dengan merujuk MLGH/PH/21 JLD 7 (20) bertarikh 20 Mac 2020,” jelas beliau.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia yang menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sementara itu, Borneo Medical Centre (BMC) telah menggantung perkhidmatan pesakit luar dan dalam dengan serta-merta bagi membolehkannya menjalankan pembersihan dan penyahkuman secara menyeluruh di hospital berkenaan .

“Penggantungan perkhidmatan ini perlu bagi memudahkan pembersihan menyeluruh kerana seorang pesakit Covid-19 yang didapati negatif Covid-19 telah dimasukkan ke wad kami,” ujar kenyataan ringkasnya di Kuching hari ini.

Pesakit berkenaan mendapatkan rawatan di hospital itu meninggal dunia di rumahnya pada 18 Mac lalu.

“Justeru, semua staf dan doktor yang mempunyai kotak dengan pesakit tersebut telah dikuarantin,” katanya.