Malaysia Dateline

PKP penuh: Bantuan kewangan RM45 bilion diperlukan, kata DAP

Pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion ini diperlukan untuk menggalakkan pendekatan keseluruhan masyarakat bagi mengurangkan kesan ekonomi yang merugikan dari “total lockdown” dan mengelakkan kemelesetan ekonomi menjadi semakin teruk, demikian menurut Lim Guan Eng.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, pakej bantuan kewangan awal bernilai RM45 bilion untuk “total lockdown” PKP 3.0 ini tidak begitu besar jika dibandingkan dengan RM340 bilion yang telah dibelanjakan di bawah PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Bagaimanapun, katanya, jumlah bantuan tambahan boleh ditambah kemudian, bergantung pada tempoh “total lockdown”, jika bantuan kewangan RM45 bilion ini didapati tidak mencukupi.

“Kegagalan keseluruhan kerajaan telah menyebabkan krisis COVID-19 yang dahsyat ini.

“Total lockdown” ini adalah kegagalan keseluruhan kerajaan oleh Kerajaan PN dalam mengawal gelombang ke-3 pandemik COVID-19,” kata beliau.

Oleh kerana “total lockdown” PKP 3.0 akan sama seperti PKP 1.0, kata Guan Eng kerugian ekonomi setiap hari dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion.

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk merangka pakej baharu bantuan kewangan bernilai RM45 bilion seperti tahun lalu, untuk rakyat dan semua sektor ekonomi yang terjejas dengan “lockdown”.

Jelasnya, walaupun pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion ini akan menyebabkan defisit belanjawan meningkat 3-4% lagi, suntikan dana langsung akan membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi.

“Pakej bantuan kewangan baharu bernilai RM45 bilion ini dapat bertahan sehingga akhir tahun apabila Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) sepatutnya selesai, dengan 80% penduduk diberi vaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Suntikan wang tunai berjumlah RM45 bilion ke dalam ekonomi perlu memberi manfaat secara terus kepada pekerja dan perniagaan merangkumi kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk penganggur, menelan belanja RM7 bilion untuk baki 7 bulan tahun ini seperti yang dijanjikan.

Selain itu, pelanjutan automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20% Teratas, sehingga PICK selesai pada akhir tahun.

“Ini akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia. Kos ini harus ditanggung oleh industri perbankan, yang masih mencatatkan keuntungan selepas cukai hampir RM23 bilion untuk tahun 2020 berbanding RM32.3 bilion pada tahun 2019.

“Insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, merangkumi insentif upah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan dan insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan kepada majikan, yang akan mencipta pekerjaan bagi 300,000 pekerja Malaysia yang menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Pengangguran belia masih setinggi 13.4% pada bulan Mac 2021.

“RM3.5 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kapasiti dan kemampuan hospital serta peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelakkan keruntuhan sistem penjagaan kesihatan awam kita.

“RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit; untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang telah lumpuh. Industri pelancongan kerugian RM100 bilion pendapatan tahun lalu dan tanpa “talian hayat” dari kerajaan, menghadapi masa depan yang suram,”katanya dalam kenyataan.

Walaupun telah mengisytiharkan Darurat dan menggantung Parlimen pada 12 Januari, Malaysia kini menjadi salah satu negara terburuk di dunia dari segi jangkitan perkapita.

Hampir empat bulan setelah menutup Parlimen, Malaysia terus mencatat rekod baru dalam kes COVID-19, dengan 8,290 kes baharu, 61 kematian, 549,514 kes kumulatif dan 2,552 kematian kumulatif pada 27 Mei.

Justeru, katanya, vaksinasi adalah satu-satunya jalan keluar dan penyelesaian untuk krisis COVID-19. Sikap sambil lewa yang tidak dapat dimaafkan oleh Kerajaan PN dalam mendapatkan bekalan vaksin telah menyebabkan kelewatan dalam penghantaran dan kadar vaksinasi yang perlahan.

Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang segera dan lancar dapat mengelakkan kehilangan nyawa yang sia-sia.