Malaysia Dateline

PKP penuh di Selangor boleh dipertimbang, kata menteri

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika langkah sedia ada masih tidak berjaya mengawal pertambahan kes Covid-19 di negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor, yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini.

Untuk rekod, Selangor masih kekal negeri tertinggi kes baharu dengan 1,650 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan itu mencecah 155,313 kes.

Semua sembilan daerah di negeri itu sudah menjadi zon merah dengan Petaling mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh 14 hari diikuti Hulu Langat, Klang dan Gombak.

Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara pada masa ini membolehkan KKM melaksanakan lebih banyak ujian dan pengasingan serta merawat kes positif.

Selain itu, katanya, KKM dengan kerjasama kerajaan negeri mengendali ujian RTK-Antigen di kawasan ada kaitan epidemiologi yang tinggi.

“Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam,” katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.

Walau bagaimanapun, dia bersetuju untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.

“Jika membabitkan ketidakupayaan mengekang jangkitan, maka cadangan pelaksanaan PKP penuh boleh dipertimbangkan,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Selangor mempunyai 19 lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di bawah empat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Selangor.

Sebelum ini, heboh di media sosial perkongsian suasana sesak di CAC di Stadium Malawati, Seksyen 13 di Shah Alam.