Malaysia Dateline

PKP penuh mesti bersifat holistik, kerajaan perlu sedia beri bantuan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘Total Lockdown’ di seluruh negara merupakan antara langkah-langkah drastik yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, sebenarnya tidak perlu dilaksanakan kerana kita kini dalam peringkat pemulihan dan ‘exit policy’.

Sebaliknya kata Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Yusoff Noor, dalam kenyataan beliau hari ini perintah tersebut hanyalah pilihan terakhir dan sekiranya ia berlaku maka haruslah bersifat holistik dengan mengambil kira semua kegiatan industri sektor ekonomi seperti kilang-kilang kecil, penjaja dan peniaga kecil yang mengharapkan pendapatan dari hasil sumber tersebut.

“Total Lockdown’ akan memberi kesan yang signifikan terhadap pemulihan ekonomi negara kerana sekitar 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana sudah menderita untuk menutup operasi perniagaan mereka sebelum ini.

” Selain itu, dengan pelaksanaan PKP ini bererti Kerajaan Persekutuan perlu bersedia memberi bantuan khas kepada rakyat di semua peringkat dari segenap sektor yang terjejas pendapatan mereka kerana pada hakikatnya mereka yang bekerja sendiri atau pun hilang pekerjaan adalah yang paling terkesan bahkan akan menjadi lebih teruk berbanding PKP 1.0 sebelum ini.

“Disamping itu, Kerajaan Persekutuan harus menggunakan kuasa dibawah Ordinan Darurat supaya institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan atau lebih sepertimana yang telah dimasyurkan bagi mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara otomatik kepada kumpulan tertentu tanpa mengenakan sebarang caj tambahan demi meringankan beban rakyat,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu katanya, sekiranya berlaku PKP sepenuhnya jangan lagi ada dwi-standard dalam penguatkuasaan maupun pematuhan SOP dan PKP sehingga terbentuknya pula nanti persepsi wujud perbezaan tindakan terhadap golongan kayangan dan marhaen.

Walau bagaimana pun tegas Yusoff, dalam situasi kini adalah lebih baik berusaha menangani Covid-19 sehingga ke tahap yang paling minima daripada berterusan mengenakan perintah PKP yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka masa panjang.