Malaysia Dateline

PKP penuh: Umum segera bantuan kewangan kepada rakyat terkesan

Penutupan sepenuhnya sektor sosial dan ekonomi (total lock down) yang akan dilaksanakan mulai 1 hingga 14 Jun ini disambut baik demi menyelamatkan nyawa rakyat.

Krisis kesihatan terburuk ini perlu ditangani bersama dengan penjagaan kendiri yang ketat terutamanya penggunaan pelitup muka, penjarakkan sosial dan sanitizer.

Disamping itu kerajaan perlu menggandakan vaksinasi kepada rakyat bagi melandai lekuk jangkutan wabak Covid-19.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan perlu umumkan dengan segera bantuan kewangan kepada rakyat yang terkesan terutamanya golongan B40, miskin bandar, peniaga kecil, perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja bawahan dengan insentif subsidi gaji 60 peratus bagi menjamin kelangsungan industri dan sektor ekonomi golongan tidak bekerja seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan yang berada dalam sektor ekonomi tidak formal.

“Beban hutang rakyat seperti pinjaman perumahan, kereta dan pendidikan harus ditangguhkan bagi tempoh antara tiga hingga enam bulan melalui moratorium tanpa caj tambahan oleh pihak bank maupun institusi kewangan.

“Perlu juga dipastikan segala bantuan makanan kepada mahasiswa yang terkandas di kampus mereka berada dalam keadaan yang selamat dan terjamin.

“Selain itu adalah diharapkan kepada semua pihak supaya segera bermunajat demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia dan pandemik Covid-19 dapat berakhir dengan segera,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.