Malaysia Dateline

PKP: Proses keadilan ikut emosi tidak adil, kata Hanipa

Proses keadilan dalam menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak harus mengikut emosi demi mengelak ketidakadilan.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan tindakan terhadap individu yang mengingkari arahan PKP tidak harus keterlaluan.

“Proses membuat keputusan mestilah adil dan mesti dilihat adil. Keadilan adalah dasar kepada kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa keputusan mahkamah terhadap individu yang disabitkan tidak mematuhi PKP.

“Kita tidak boleh meletakkan keadilan berdasarkan emosi atau kemarahan. Ia akan menjadi tidak adil.

“Misalnya, perlukah hingga suspek digari? Dan perlukan dikenakan jaminan (bail) yang terlalu tinggi (melampau)?

“Keseimbangan adalah sebahagian daripada keadilan,” tegas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu.

Terdahulu, pakar kardiologi, Dr Ong Hean Teik, 60, didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown, 30 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Hean Teik didakwa menghalang penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa MBPP, Muhd Alif Aizad Abd Latif melakukan tugas di Taman Bandaraya, kira-kira 6 petang 19 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa atas kesalahan keluar dari rumahnya di Jalan Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya mengikut Seksyen 3(1) Akta Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) akta sama iaitu denda maksimum RM1,000 dan hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Hean Teik kemudiannya diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan RM5,000 bagi jaminan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 7(1).

Mengulas lanjut, Hanipa berpendapat jaminan hanya bertujuan untuk menjamin individu yang dituduh dibebaskan sementara menunggu beliau dibicarakan.

“Tidak lebih daripada itu. Jaminan tidak boleh bersifat menghukum kerana seseorang itu masih dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya.

“Ini prinsip keadilan yang universal hatta dalam Islam,” jelas peguam itu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu bagaimanapun tidak tidak mahu menyalahkan kes tersebut.

Hanipa turut mengulas kes pelajar tingkatan enam di Kelantan yang kini ditahan di penjara Marang bersama 16 yang lain kerana dituduh melanggar PKP.

Laporan menyebut remaja dikenali sebagai Man, berusia 18 tahun, yang keluar dari rumah kerana membeli mi segera itu tidak mampu membayar ikat jamin berjumlah RM800.

“Saya tidak mahu buat spekulasi apa yang hakim akan hukum jika mereka yang langgar PKP kerana nak beli maggie sebab lapar?

“Dalam sejarah Islam, apabila ada orang mencuri kerana lapar, cerita yang masyhur , Khalifah Syaidina Umar r.a tidak melaksanakan hukuman potong tangan (hukum hudud) ke atas orang itu,” tambah Hanipa lagi.