Malaysia Dateline

PKP: Pulau Pinang lulus pakej bantuan RM20 juta

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan pakej bantuan kewangan bernilai RM20 juta untuk menghadapi cabaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pakej kewangan itu bertujuan memberi bantuan kepada kumpulan sasar yang terkesan ekoran penguatkuasaan semula PKP.

Beliau berkata, kerajaan negeri tahun lalu telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM151 juta kepada individu, perniagaan dan organisasi yang terjejas.

“Kerajaan negeri meminta semua pihak untuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ada untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Kita perlu sedar bahawa berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, sehingga 13 Januari 2021, dari jumlah kumulatif 5,479 kes, 3,246 (59 peratus) adalah warganegara, sementara 2,233 (41 peratus) bukan warganegara.

“Adalah jelas bahawa virus itu ada di mana-mana dan siapa saja, sama ada warga tempatan atau warga asing boleh dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak leka sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi semua orang di negeri tersebut.

Sejak semalam, Pulau Pinang antara enam negeri yang dikenakan PKP selama 14 hari. Negeri-negeri lain yang turut dikenakan PKP ialah Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.