Malaysia Dateline

PKP seluruh negara, kecuali Sarawak, mulai 22 Januari

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan di seluruh negara kini kecuali negeri Sarawak mulai 22 Januari.

Ini berikutan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis turut dikenakan perintah berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas enam negeri tersebut merekodkan jumlah kes positif yang agak tinggi sehingga 18 Januari 2021.

Menurutnya, perintah di enam negeri itu akan mula dikuatkuasakan bermula 12.01 tengah malam pada 22 Januari 2021 dan berakhir pada 4 Februari 2021.

Sebelum ini, pada 11 Januari, negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Sabah dan Melaka diletakkan di bawah PKP sehingga 26 Januari.

Pengumuman PKP itu diikuti dengan negeri Kelantan dan daerah Sibu, Selangau dan Kanowit di negeri Sarawak dikenakan pada 16 Januari hingga 29 Januari 2021.