Malaysia Dateline

PKP separuh masak tetap walhasil balik asal

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat keputusan kerajaan memperketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi membenarkan operasi pusat beli belah, pasar dan tempat kerja tidak mampu mengekang penularan Covid-19.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan berkata, langkah PKP kali pertama sebelum ini terbukti berjaya mengawal pandemik maut itu.

Sebaliknya, beliau berkata, siri PKP seterusnya menyaksikan kes Covid-19 naik mendadak lantaran pelbagai sektor ekonomi yang melibatkan pergerakan orang ramai dibenarkan beroperasi.

“Pokoknya PKP 1.0 berkesan. Jumlah kes turun. Tetapi bila PKP 2.0 dan 3.0 (separuh masak) dilaksana jumlah kes tambah parah bukan turun.

“Masalahnya ‘lebih ketat’ tu apa? Kalau ketat dari segi SOP tetapi ‘mobiliti dan densiti’ masih berjalan, ketirisan akan berlaku. Tetap walhasil balik asal,” tegasnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan sekatan lebih ketat sepanjang PKP 3.0 di seluruh Semenanjung dan semua kawasan Wilayah Persekutuan bermula 25 Mei hingga 7 Jun ini ekoran lonjakan kes Covid-19.

Sekatan lebih ketat itu termasuklah pengurangan jumlah kakitangan awam dan swasta keluar bekerja dan mengehadkan masa operasi sektor ekonomi kepada 8 malam kecuali farmasi.

Mengulas lanjut, Puad berpendapat sumber pergerakan dan kepadatan ialah tempat kerja, pusat beli belah, pasar, pasar malam, pasaraya, kilang dan tapak pembinaan.

“Walaupun ketat dari segi masa operasi iaitu 8 pagi hingga 8 malam tetapi membenarkan ia beroperasi menyebabkan mobiliti (pergerakan) dan densiti (kepadatan) tetap berlaku.

“Sebab itu angka Covid-19 di kawasan bandar amat tinggi kerana banyak mobiliti dan densiti berlaku di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mempersoalkan kewajaran PKP separuh masak berbeza pelaksanaan PKP penuh 1.0 pada Mac tahun lalu.

“Justeru, strategi mana yang wajar didahulukan bila kes sudah melepasi angka 6,000? Total lockdown atau PKP separuh masak?” soal Puad lagi.