Malaysia Dateline

PKP tidak akan ditamatkan, bantuan rakyat bakal diumum

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa tidak ditamatkan esok.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga nilai ambang jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga memaklumkan, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada esok atau lusa.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kemudiannya dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Jumlah kes harian Covid-19 dilihat masih berada pada paras tinggi, melebihi 4,000 kes sehari sejak 23 Jun lalu.

Setakat semalam, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula melebihi 60,000 kes dengan lebih 80 kematian baharu sejak empat hari lalu.

Sementara itu, seramai 4,884 pesakit Covid-19 maut iaitu 0.67 peratus daripada kes keseluruhan manakala 662, 932 kes sembuh bersamaan 91 peratus.

Situasi penularan Covid-19 di Malaysia juga menyaksikan kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas.

Kes sporadik juga masih berada pada peratusan yang agak tinggi dengan tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur.