Malaysia Dateline

PKP: Uncle Kentang tampil perjelas situasi sebenar dua ‘pemancing ikan’ dipenjara

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng tampil mendedahkan hal sebenar berhubung hukuman penjara tiga bulan terhadap dua lelaki Cina di Sungai Siput, Perak yang dihukum penjara kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau lebih dikenali sebagai `Uncle Kentang’ memberitahu, laporan media yang menyatakan mereka terpaksa keluar mencari makanan itu tidak tepat.

“Memang tujuan mereka pancing ikan tetapi ada tujuan lain.

“(Laporan) Itu tidak tepat kerana saya bertanyakan kepada sumber-sumber di sana. Mereka (dua pesalah) ada lima rekod jenayah lampau yang berkait dengan dadah,” katanya dalam sidang video secara langsung di Facebook pagi tadi.

Terdahulu, dalam catatannya di laman sosial tersebut, Chee Heng menjelaskan kedua-dua pesalah itu dilihat tidak sopan dalam prosiding mahkamah dan mereka meminta hukuman penjara.

“Mahkamah boleh memenjarakan mereka untuk tempoh yang lebih singkat untuk memberi amaran.

“Tetapi kedua-dua mereka adalah pesalah biasa dan mereka sendiri diminta dipenjarakan.

“Jadi, mahkamah setelah menimbangkan keyakinan mereka sebelum ini dan mereka tidak menunjukkan penyesalan, mahkamah mengeluarkan hukuman penjara maksimum untuk menjauhkan mereka daripada orang awam dan mengurangkan beban pihak berkuasa untuk mengawasi mereka,” dedahnya.

Akhbar Sin Chew Daily dipetik Malaysiakini kelmarin berkata, Chin Chee Wei, 45, dan Chong Poh Wah, 56, memberitahu mahkamah bahawa mereka lazimnya mendapat upah harian sebanyak RM100 tetapi tidak dapat bekerja ekoran pelaksanaan PKP.

The Star semalam pula melaporkan kedua-dua buruh yang memasang genting bumbung itu keluar memancing untuk mencari makanan dengan isteri masing-masing tidak bekerja manakala Chin mempunyai dua orang anak bersekolah.

Peguam Balakrishna Balaravi Pillai dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (NLAF) dalam prosiding tersebut memberitahu mereka tidak dapat mencari kerja sejak PKP dilaksanakan.

Sehubungan itu, Balakrishna berharap mahkamah akan mengenakan mereka hukuman berbentuk khidmat masyarakat bukannya penjara.

Mengulas lanjut, ‘Uncle Kentang’ menyifatkan hukuman dijatuhkan Majistret Norhabsarina Ayob kelmarin sebagai wajar.

“Kalau kita lihat Majistret jarang mengenakan hukuman maksimum melainkan kes-kes yang perlu mereka buat demikian.

“Saya setuju dengan hukuman pihak mahkamah penjara tiga bulan itu. Pihak mahkamah memilih hukuman maksimum kepada kedua-dua lelaki tersebut,” ujarnya.

Ahli perniagaan yang aktif dalam aktiviti kebajikan sejak hampir 20 tahun lalu itu berpendapat hukuman tersebut dapat mengelak kedua-dua tertuduh merayau ke sana-sini sekali gus berisiko menjangkitkan virus itu jika positif Covid-19.

“Mereka bukan keluar cari makan, mereka keluar cari ‘barang’.

“Mahkamah tidak menjatuhkan hukuman denda tetapi penjara maksimum supaya mereka tidak menganggu orang lain,” tambahnya lagi.

Dua lelaki di Sungai Siput yang dihukum penjara tiga bulan mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk salahguna dadah.