Malaysia Dateline

PKPB: Azmin perlu ambil pendekatan libatkan semua pihak, bukan memaksa

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali perlu menyedari kepentingan melibatkan semua pihak bagi menghadapi krisis Covid-19, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Katanya, Azmin perlu menyedari kepentingan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan juga pendekatan penglibatan “keseluruhan masyarakat” untuk menggembeleng kekuatan dan sumber kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memenangi peperangan melawan wabak ini.

Ujarnya, ia bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi juga punca kehidupan dan ekonomi negara.

“Walaupun Azmin menyatakan yang keputusan untuk membuka semula ekonomi negara ini adalah berasaskan data dan kaji selidik yang dijalankan oleh pelbagai pihak, beliau gagal untuk menjelaskan mengapa beliau terus memaksa pelaksanaan PKPB tanpa memastikan persetujuan kerajaan negeri dapat dicapai terlebih dahulu,.

“Azmin telah menjejaskan hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dengan penjelasan beliau yang memalukan, kononnya beliau hanyalah memberikan peringatan dan bukanlah memberikan ugutan tindakan undang-undang,” kata beliau menerusi blognya semalam.

Tambah beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus masuk campur dan mengadakan satu mesyuarat bersama dengan semua kerajaan negeri untuk memastikan kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berada di satu tahap pemahaman yang sama mengenai peperangan melawan wabak Covid-19 ini.

“Terutamanya dalam usaha mengekang penularan virus ini dan dalam usaha-usaha menggerakkan semula ekonomi negara.

“Persoalannya sekarang, adakah Kabinet akan mengembalikan persidangan penuh Parlimen bermula 18 Mei yang telah dipendekkan kepada sehari memandangkan PKP telah pun digantikan dengan PKPB sehingga 12 Mei?,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Tindakan Azmin Ali seolah-olah mengugut kerajaan negeri yang tidak mengikuti arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dilihat banyak pihak sebagai membuktikan kelemahan pentadbiran kerajaan Persekutuan menyelaras arahan PKP ketika ini.

Terdahulu, hanya empat negeri muktamad menerima sepenuhnya PKPB yang bermula 4 Mei iaitu Terengganu, Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Lima negeri lagi menolak PKPB sekali gus tidak membuka semula sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan bersetuju melaksanakan PKPB tetapi dengan pengubahsuaian tertentu antaranya pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.