Malaysia Dateline

PKPB di Klang: Saringan bersasar Covid-19 di zon merah

Kerajaan Negeri Selangor selesai mengemukakan maklumbalas dan cadangan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Klang kepada Putrajaya, pagi tadi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan tersebut melibatkan beberapa pengubahsuaian dan dikemukakan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri secara atas talian jam 11 pagi tadi.

Cadangan yang diutarakan adalah hasil maklumbalas daripada beberapa agensi dan jabatan sewaktu Mesyuarat Penyelarasan PKPB Daerah Klang yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, sebagai wakil Amirudin.

Jelas Amirudin lagi, untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, MKN akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKPB Klang selain kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Kerajaan negeri juga akan terus mengadakan saringan bersasar Covid-19 di kawasan merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal perebakan wabak ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Klang antara empat daerah yang kini diisytiharkan sebagai Zon Merah ekoran peningkatan kes positif Covid-19.

Tiga lagi daerah terlibat dengan PKPB berkuat kuasa 12.01 tengah malam 9 Oktober ini ialah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah.

Keputusan pelaksanaan PKPB di keempat-empat daerah itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.