Malaysia Dateline

PKPB di Kuching bermula esok hingga 22 Nov

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Daerah Kuching bermula esok hingga 22 November ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, tindakan itu diambil adalah berdasarkan kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Daerah Kuching semakin meningkat setiap hari.

JPBN berkata, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali hanya dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia.

“Bagaimanapun, pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke Daerah Kuching mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan hari ini.

“Ini memandangkan Daerah Kuching adalah kekal berstatus merah manakala beberapa daerah lain kekal berstatus hijau,” jelas JPBN.

JPBN memaklumkan jumlah keseluruhan 151 kes jangkitan tempatan telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas sementara Daerah Miri, Lundu dan Limbang kekal berstatus kuning.

“Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus Merah adalah satu, tiga berstatus Kuning dan 36 daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status Hijau.

“Justeru, JPBN amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak bagi bersama-sama mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Malah JPBN menyarankan kepada semua individu untuk menjalani ujian Covid-19 di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai risiko terdedah kepada kes positif Covid-19.

“Sentiasa amalkan penjarakan fizikal, tangguhkan semua perjalanan dan perjumpaan bersemuka sehingga tamat tempoh pengasingan kendiri dan bersama kita dapat melakukannya,” tegas JPBN lagi.