Malaysia Dateline

PKPB di Kuching dilanjut hingga 27 November

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching yang dijadualkan tamat semalam, dilanjutkan sehingga 27 November ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, perkara tersebut diputuskan selepas meneliti beberapa isu yang telah di bincangkan.

Ini kerana, kata JPBN sepanjang tempoh PKPB di Daerah Kuching dalam 14 hari yang lepas masih terdapat 58 kes positif tempatan di daerah ini.

“Taburan kes-kes jangkitan ini tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja. Oleh itu, setelah penilaian risiko, maka tempoh PKPB di Daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November ini (Jumaat).

“Sekiranya dalam tempoh lanjutan PKPB ini, JPBN mendapati bahawa tiada lagi keperluan untuk penguatkuasaan, ia boleh dipendekkan pada bila-bila masa,” jelas JPBN.

JPBN menegaskan, bagi tatacara kemasukan dan tempoh kuarantin selama 14 hari masuk ke Sarawak turut dilanjutkan sehingga diberitahu kemudian.

“Pergerakan keluar dan masuk merentasi Daerah Kuching tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja sahaja.

“Namun, surat dan pas kerja daripada Ketua Jabatan ataupun majikan adalah memadai manakala bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu memohon permit dari Polis Diraja Malaysia,”ujar JPBN lagi.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan pembukaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di Zon Merah dan Zon Kuning dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KKWKPK).

“Pihak Pengusaha TASKA dan TADIKA hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Bagi tujuan rekod dan pemantauan, pihak TASKA dan TADIKA wajib memaklumkan kepada KKWKPK sebelum memulakan operasi.

“Manakala bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti dan tidak lagi terhad kepada tiga orang sahaja,” kata JPBN.