Malaysia Dateline

PKPB di Sarawak dilanjut ekoran kes masih tinggi

Sarawak akan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 26 April yang mana sebelum ini dijadualkan tamat 13 April ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, lanjutan tempoh itu dilaksanakan berikutan kes positif Covid-19 di negeri ini masih lagi tinggi.

“Lanjutan PKPB dibuat setelah melihat dan menilai situasi kes positif yang masih tinggi di negeri ini.

“Semalam, kes baharu yang direkodkan ialah sebanyak 211 dikesan iaitu membabitkan Daerah Bintulu (70), Sibu (35), Sarikei (21), Miri (19), Kuching (15), Sri Aman (8), Beluru (7), Kapit (6), Meradong (6) dan Limbang (6),” kata JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menegaskan kes lain yang dikesan termasuk Samarahan (5), Subis (3), Bau (2), Marudi (2) dan masing-masing satu di Lubok Antu, Julau, Serian, Mukah, Dalat dan Tanjung Manis, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 18,707 kes.

Malah kata JPBN, Sarawak terus mencatatkan satu lagi kematian baharu menjadikan jumlah meningkat kepada seramai 117 orang setakat ini.

“Bagi 211 kes baharu yang dilaporkan semalam, 131 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif, 45 kes saringan individu dalam kluster aktif sedia dan 17 kes saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.

“16 kes lagi adalah melalui saringan di fasiliti kesihatan dan masing-masing satu kes melibatkan individu balik dari Emiriah Arab Bersatu dan dari negeri lain dalam Malaysia,” jelas JPBN.

Untuk kes kematian ke-117, JPBN memaklumkan ia melibatkan wanita tempatan berumur 83 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas.

“Saringan ujian rt-PCR telah dilakukan dan dikesan positif pada 28 Mac 2021 serta disahkan meninggal dunia pada 7 April 2021.

“Kes ini juga didapati mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia,” ujar JPBN lagi.