Malaysia Dateline

PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 12 April depan

Sarawak akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 12 April depan ekoran kes Covid-19 masih tinggi lagi di negeri ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pelanjutan PKPB itu bermula dari 30 Mac jam 12.01 pagi hingga 12 April 2021 jam 11.59 malam iaitu selama 14 hari.

Kata JPBN, berikutan situasi kes positif di Sarawak masih tinggi, pihaknya telah memutuskan untuk melaksanakan PKPB di negeri ini.

“Selain PKPB, kita (JPBN) juga hendak memaklumkan bahawa dua kampung di Daerah Serian telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“PKPD ini melibatkan Kampung Chupak, Serian berkuatkuasa pada 25 Mac (12.01 pagi) hingga 7 April 2021 (11.59 malam) dan Kampung Batu Gong, Serian berkuatkuasa 26 Mac (12.01 pagi) hingga 8 April 2021 (11.59 malam).

“Malah, kita turut memutuskan prosedur operasi standard (SOP) untuk majlis sosial (pengkebumian) kerana kebanyakan kes positif adalah daripada kalangan yang hadir dalam majlis sedemikian,” ujar JPBN dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

JPBN menjelaskan, penganjuran majlis sosial (pengkebumian) haruslah melapor dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah yang berdekatan serta mematuhi SOP yang ketat sebelum menjalankan upacara pengkebumian dijalankan.

“Untuk itu, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat adalah diharapkan dapat membantu menguatkuasakan SOP berkenaan,” tambah JPBN lagi.