Malaysia Dateline

PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 29 Mac

Sarawak akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 16 sehingga 29 Mac ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, keputusan itu dilaksanakan selepas melihat dan menilai situasi kes positif di seluruh negeri ini masih lagi tinggi.

“Keputusan melanjutkan PKPB di Sarawak berkuatkuasa pada 16 Mac jam 12.01 pagi hingga 29 Mac 2021 jam 11.59 malam iaitu selama 14 hari.

“Ini berikutan kes positif Covid-19 yang dicatat di negeri ini masih lagi tinggi,” kata JPBN.

Pada masa sama, JPBN memaklumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2 di Sibu telah ditamatkan semalam.

Jelas JPBN, tempoh PKPD di Skim Penempatan ditamatkan berikutan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

Malah, ujar JPBN lagi tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan berkenaan setakat ini.

Berkaitan kes baharu di Sarawak, JPBN menegaskan terdapat 173 kes baharu telah dikesan dengan Daerah Sibu mencatat tertinggi kes harian dengan 71 .

“Daerah lain yang merekod kes semalam ialah Miri (19), Bintulu (16), Kuching (15), Meradong (10), Serian (9), Julau (7), Kapit (5), Tanjung Manis (5), Betong (3), Belaga (2), Mukah (2), Sri Aman (2), Subis (2), Telang Usan (2), Dalat (1), Samarahan (1) dan Sarikei (1).

“Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,051 kes di Sarawak.

“Daripada 173 kes baharu yang dilaporkan,hanya seramai 19 orang atau 10.98 peratus yang telah menunjukkan tanda-tanda dan mengalami tanda-tanda jangkitan semasa saringan dilaksanakan,” tambah JPBN lagi.