Malaysia Dateline

PKPB di seluruh Selangor, KL dan Putrajaya

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa pada 14 Oktober jam 12.01 tengah malam.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan selepas mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes di daerah Selangor seperti Klang, Petaling dan Gombak.

Jelasnya, PKPB kali ini akan berkuatkuasa sehingga 27 Oktober 2020.

Pada masa sama, kerajaan juga memutuskan melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober 2020.

Justeru beberapa aktiviti yang dilarang turut disenaraikan termasuk larangan pergerakan keluar masuk dan merentas daerah.

Bagaimanapun katanya, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan. Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun Ismail memaklumkan, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.