Malaysia Dateline

PKPB disambung hingga 9 Jun

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun depan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana masih ada langkah-langkah perlu diambil kerajaan untuk memerangi Covid-19 walaupun negara sudah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

Tegasnya, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi PKPB akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu lagi.

“Usaha kita masih belum berjaya. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya ketika Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, sebarang perubahan mengenai peraturan, prosedur operasi standard (SOP) atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kelima diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.

Tindakan ingkar PKPB dikenakan hukuman sama dengan PKP yang lain iaitu dikompaun RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.