Malaysia Dateline

PKPB perlu dibincang di Parlimen, ugutan bukan jalan penyelesaian

Tindakan Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali seolah-olah mengugut kerajaan negeri yang tidak mengikuti arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jelas membuktikan kelemahan pentadbiran kerajaan Persekutuan menyelaras arahan PKP ketika ini.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, tindakan Azmin memperlihatkan kepincangan kepada arahan PKPB selain arahan tersebut nampaknya tidak dibincangkan bersama kerajaan negeri.

Abbas berkata, timbul tanda tanya mengapa keputusan dibuat secara tergesa-gesa, lebih-lebih lagi apabila lima buah negeri tidak mengikuti arahan PKPB secara total dan diubah mengikut kesesuaian di negeri masing-masing.

“Apakah tiada perbincangan khusus antara wakil negeri-negeri untuk mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua.

“Ini adalah julung kali kerajaan negeri secara terang-terangan tidak akur kepada arahan PKPB secara total.

“Kredibiliti Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali tercalar selepas dilihat tidak menjadikan medan perbincangan untuk melaksanakan sesuatu polisi dan hanya mahu semua orang mengikut selera arahan dia sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azmin berkata, kerajaan negeri mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya kalangan pihak industri sekiranya menghalang mana-mana syarikat daripada memulakan operasi mulai 4 Mei, 2020.

Ini kerana katanya, tindakan kerajaan negeri tidak bersandar kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan adalah bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Abbas berkata, medan yang sesuai untuk mendapatkan penjelasan dari Azmin ialah di Dewan Rakyat.

Jelasnya, ahli Parlimen boleh mendapatkan informasi terus dari Azmin ketika beliau membentangkan perkara tersebut ketika sidang Parlimen.

Tambahnya lagi, rakyat akan mendapat informasi yang tepat mengapa kerajaan Persekutuan mengeluarkan arahan PKPB dan apa strategi di dalam PKPB tersebut.

“Rakyat sedang menanggung risiko dengan arahan PKPB yang dikuatkuasakan, maka sewajarnya keputusan itu dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini.

“Jika tidak, kredibiliti Kerajaan Persekutuan dan Menteri Kanan Ekonomi itu sendiri akan terus tercalar dan rakyat gusar dengan arahan PKPB yang mengatasi arahan PKP sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu, hanya empat negeri muktamad menerima sepenuhnya PKPB yang bermula semalam iaitu Terengganu, Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Lima negeri lagi menolak PKPB sekali gus tidak membuka semula sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan bersetuju melaksanakan PKPB tetapi dengan pengubahsuaian tertentu antaranya pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.