Malaysia Dateline

PKPB: Tunduk pada desakan peniaga besar, bersedia hadapi kesan lebih parah

Keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikritik sebagai satu kesilapan besar yang bakal menghantui negara untuk jangka masa yang panjang, kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) ketika ini mengambil langkah kurang bijak dan berisiko tinggi kerana menuruti desakan kepentingan peniaga-peniaga besar.

Katanya, sekiranya PN berani mengambil alih kerajaan dalam keadaan ekonomi sudah mula lemah, PN sepatutnya berani memimpin dari hadapan dan bukannya mengikut kehendak peniaga-peniaga besar.

“Melonggarkan PKP mungkin akan menjadi kesilapan besar yang akan menghantui kita untuk jangka masa panjang.

“Jika gelombang kedua Covid-19 berlaku, Malaysia akan ditutup jauh lagi lama dengan kerugian yang amat parah.

“Inilah masalahnya apabila negara diketuai oleh pemimpin yang tidak mempunyai visi dan keberanian membuat keputusan yang bijaksana,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu lagi, jelas kelihatan PN bukan sahaja tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber, bahkan mereka juga tidak ada kerjasama sebagai pemerintah.

Lebih malang katanya, tujuh buah negeri berani membuat keputusan untuk tidak melonggarkan PKPB, namun tidak untuk Terengganu yang menyatakan akan terus melaksanakan PKPB dan hanya akan menarik semula jika perlaksanaan SOP didapati lemah.

“Jika ianya dah sampai di tahap itu, sudah banyak kerosakan pada keselamatan rakyat akan berlaku yang susah hendak diperbaiki,” ujarnya.

Pada masa sama, Kamarul juga membangkitkan isu di mana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyerang Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali atas tindakan beliau yang tidak merujuk kepada negeri PN sendiri atas kelonggaran yang bermula hari ini.

“Bagaimana hendak memimpin negara kalau PN sendiri tiada persefahaman dan gabungan ini tidak wujud secara entiti sah?

“Ketua kerajaan kita hari ini yang tidak dipilih oleh rakyat, dipimpin serta menjadi pengikut ahli perniagaan besar dan kaya dengan bernafsukan wang.

“Yang menanggung risiko keselamatan nyawa lebih besar dan kemiskinan melarat adalah rakyat marhain,” katanya.