PKPB untuk Lembah Klang dipertikai

Oleh BORHAN AHMAD

Kalau mengikut statistik Kementerian Kesihatan, lojik mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya boleh dipertikaikan, kata tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin.

“Malah boleh dianggap tidak lojik,” katanya dalam tulisan di facebook beliau.

Hujjah beliau juga disokong oleh ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang berkata, adalah tidak wajar tindakan ini dibuat tanpa berunding dengan kerajaan negeri Selangor.

“Bila saya diberitahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menjemput MB Selangor menyertai mesyuarat bagi membincangkan perkara ini, ia amat mengecewakan.

“Langkah ini menyebabkan pentadbiran dan rakyat Selangor keliru. Isu sempadan sahaja sudah pening. Sempadan yang mana satu dipakai. Sempadan polis ke sempadan daerah,” kata Khalid.

KEPADATAN PENDUDUK

Menurut Kadir, jangkitan semasa Covid-19 di tiga wilayah ini tidaklah tinggi iaitu 68 di Selangor, 12 Kuala Lumpur dan satu Putrajaya – berbanding 429 di Sabah, 133 Kedah dan 17 Pulau Pinang.

Apatah lagi, katanya, jika diambil kira bilangan penduduk mereka.

Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mempunyai penduduk keseluruhan seramai 7.6 juta berbanding Sabah 3.5 juta dan Kedah 2.07 juta.

“Jadi dengan bilangan penduduk yang ramai dan kadar kepadatan yang tinggi, rekod Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah cemerlang,” kata beliau.

Ini belum diambil kira hakikat bahawa tiga wilayah ini juga adalah nadi sosio-ekonomi negara yang melibatkan kadar interaksi manusia yang lebih tinggi dan pesat.

“Natijahnya, walaupun mempunyai bilangan penduduk yang ramai dan tempo interaksi yang rancak, tiga wilayah ini masih mampu mengawal penularan wabak ini,” kata beliau.

Bagi bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu, pihak berkuasa sepatutnya lebih memandang berat kegagalan sistemik di Sabah yang melibatkan pendatang asing dan pilihan raya negeri, dan di Kedah yang melibatkan penghuni penjara.

Katanya, jangkitan besar yang berlaku di penjara di Kedah sekarang adalah contoh klasik kegagalan sistemik pelaksanaan SOP Covid-19.
“Tindakan keras wajar dikenakan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab,” kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan media NSTP itu.

Sehubungan itu, katanya, adalah amat baik dan wajar pihak berkuasa politik serta pentadbiran mengkaji semula kewajaran mengenakan PKPB ke atas Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sekarang.