Malaysia Dateline

PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching bermula hari ini

Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)di Kampung Haji Baki, Kuching akan berkuatkuasa mulai 6 petang hari ini hingga 10 November depan.

Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kawasan yang terlibat dalam arahan PKPD itu ialah Kampung Haji Baki Blok A, Kampung Haji Baki Blok B dan Kampung Haji Baki Blok C.

Kata JPBN, PKPD pertama di Sarawak itu dilaksanakan berikutan 49 kes positif Covid-19 telah dicatatkan di Kuching semalam sekali gus bertukar kepada zon merah.

“Daripada jumlah itu, 25 kes adalah dari kawasan Kampung Haji Baki yang telah dilaporkan pada 18 Oktober lepas.

“Semenjak kes indeks kluster ini dilaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan penjejakan kontak dan Active Case Detection (ACD) pada 25 Oktober 2020,” jelas JPBN.

Di kalangan 25 kes tersebut, kata JPBN lagi ia melibatkan ahli keluarga terdekat kes indeks, jiran terdekat, pelajar sekolah rendah dan menengah serta pekerja kesihatan.

“Bagi memutuskan rantaian kluster ini, maka JPBN akan mengambil langkah pencegahan dengan melaksanakan PKPD.

“Pihak polis akan bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan ATM, APM dan RELA yang mana semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” ujar JPBN.

Tegas JPBN, pergerakan keluar masuk pegawai bertugas dan warder bertugas ke dalam kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan selain pertimbangan boleh diberikan oleh pihak polis dan KKM berdasarkan ‘case by case basis’.

“Di samping itu, tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuatkuasa serta semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Untuk kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon, namun perlu mendapatkan kebenaran daripada polis.

“Manakala, semua surau, masjid, rumah ibadat lain dan sekolah di dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini termasuk semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

“Begitu juga aktiviti keagamaan, sosial, rekreasi dan budaya dan sukan adalah tidak dibenarkan,” jelas JPBN.

JPBN turut memaklumkan KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat nanti.