Malaysia Dateline

PKPD KL Selangor: Pastikan pelaksanaan tidak bocor, kata MSOSH

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) meminta kerajaan memastikan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur sekarang tidak bocor dengan memberikan keizinan kilang atau tapak bina yang bukan keperluan asas terus beroperasi.

Ini kerana, kata Dr. Shawaludin Bin Husin, Presiden MSOSH, para petugas kesihatan sekarang sudah keletihan atau ‘burnout’ akibat dari terlalu banyak kes yang terpaksa mereka kendalikan.

“Adalah diingatkan pada fasa ini, ianya sangat penting untuk memastikan hanya perkhidmatan perlu yang diberikan kebenaran untuk beroperasi.

“Pihak kerajaan tidak seharusnya tunduk dengan desakan para majikan, termasuk operator kilang atau pengurus tapak bina sekiranya terdapat permohonan untuk membuka perniagaan mereka secara fizikal sepanjang tempoh 14 hari PKPD ini,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Katanya, MSOSH mengikuti rapat langkah kerajaan Malaysia untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok di hampir semua daerah dan mukim di kawasan Lembah Klang bagi mengekang penularan virus Covid-19.

“Kami berpendapat langkah tersebut bukan sahaja wajar, malah sepatutnya perlu dilakukan lebih awal memandangkan terdapat banyak kluster pekerjaan di negeri tersebut selain mengambil maklum yang virus ini juga sudah berada di dalam komuniti.

“Malangnya selepas beberapa langkah PKP, serta PKP yang lebih ketat dan seterusnya apa yang dinamakan PKP Penuh, trend jangkitan tidak menurun malah Selangor dan Kuala Lumpur terus menjadi penyumbang utama kepada angka penularan Covid-19 di seluruh negara.

“Ini berikutan penggunaan terma “perkhidmatan perlu” yang terlalu luas yang kemudiannya ditafsirkan oleh kerajaan yang memberi ruang kepada sektor bukan kesihatan dan keperluan harian, seperti sektor aeroangkasa untuk beroperasi pada kadar sehingga 60% sehingga hari ini,” katanya.

Bagi persatuan itu, fasiliti kesihatan perlu digerakkan dengan sihat oleh para pekerja, baik dari barisan hadapan, atau pun pekerja sokongan.

“Mereka perlu sihat dan cergas bagi memastikan kita dapat keluar dari krisis ini secara mutlak,” katanya.

Oleh itu, katanya, pelaksanaan PKPD ini adalah sangat kritikal. Ia tidak boleh “bocor” lagi dengan terdapatnya sektor yang tidak penting terus beroperasi.

Bagi beliau, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan hal ini dapat diuruskan dengan baik, termasuk dalam hal berkaitan pemantauan dan penguatkuasaan.

Selain itu, MSOSH juga berpandangan pengurusan sumber penguatkuasaan perlu diperkemaskan, dimana pihak penguatkuasa perlu ditempatkan di kawasan kilang yang beroperasi selain pasaraya yang akan menjadi tumpuan ramai, tidak hanya sekadar di sekatan jalan raya.

Sepanjang tempoh PKPD ini, MSOSH menyeru pihak kerajaan untuk terus mempertingkatkan kadar vaksinasi secara optimum.

Difahamkan kadar harian vaksinasi akan mencapai 200,000 sehari di seluruh negara pada bulan ini, di mana rakyat Selangor akan memperoleh 130,000 suntikan sehari.

“Ini adalah peluang terbaik untuk kerajaan fokus dalam pemberian vaksin kepada negeri yang berkepadatan tinggi ini,” katanya.

Menurut statistik Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sejumlah dua juta atau 100% penduduk di Kuala Lumpur telah mendaftarkan diri mereka untuk divaksinasi dan 85% daripada enam juta penduduk Selangor juga sudah berbuat demikian.

Sekiranya kedua-dua negeri/wilayah ini dapat mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera, kesan lebih buruk ekonomi dan dan sosioekonomi kepada negara dan rakyat dapat dielakkan, sekaligus melegakan sektor kesihatan kita.

Pihak MSOSH menggesa kerajaan untuk memastikan keberjayaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur dan memandang serius keadaan kritikal sektor kesihatan awam negara yang mampu lumpuh sekiranya kes Covid-19 di kawasan tersebut tidak menunjukkan tanda penurunan.dengan pengkhususan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.