Malaysia Dateline

PKPD: Rakyat rayu belas ehsan MB Kelantan bantu penduduk kawasannya

Setelah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan kepada Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil dalam kawasan Tumpat, kini para penduduk di situ mula merayu agar kebajikan mereka dijaga.

Menurut Ketua AMANAH Kawasan Tumpat Wan Mohd Johari Wan Omar, beliau menerima banyak aduan dari penduduk setempat dalam kawasan PKPD itu berkenaan ketiadaan bantuan makanan yang diberikan kepada mereka.

“Kampung Kutan Tengah terletak dalam Dun Pasir Pekan yang diwakili oleh Datuk Ahmad Yakob merangkap MB Kelantan, manakala Kampung Ketil pula terletak dalam Dun Pengkalan Kubor yang diwakili oleh Ustaz Wan Roslan Wan Hamat merangkap Exco Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan,” jelas Wan Johari.

Oleh itu, katanya, sepatutnya aspek kebajikan rakyat lebih terjaga kerana rakyat di sini bukan sekadar tersekat pergerakan akibat PKPD semata-mata, bahkan ramai dalam kalangan rakyat di sini sudah hampir sebulan hilang sumber pendapatan akibat PKP yang sambung menyambung bermula awal Ramadhan lalu, tambah beliau lagi.

Wan Johari yang juga Setiausaha AMANAH Negeri Kelantan itu juga menjelaskan, berdasarkan banyak aduan yang diterima, kebanyakannya berkisar tentang kegagalan pihak berwajib turun agihkan bantuan kepada rakyat yang terlibat dalam PKPD.

“Kampung Kutan ada lebih kurang 14 ribu penduduk dan penduduk Kampung Kutan Tengah sekitar 1400 orang, tetapi kita difahamkan bantuan yang diberi baru diterima oleh 150 orang sahaja,” jelas beliau.

Beliau sangat berharap kerajaan negeri tidak mengambil sikap membalas dendam kepada penduduk di situ kerana masalah yang mereka buat sebelum ini kepada kerajaan negeri.

“Walaupun sebelum ini Kerajaan Pas Kelantan bermasalah dengan rakyat Kampung Kutan yang terlibat dalam isu pengambil alihan tanah untuk dimajukan dimana ianya dibantah oleh penduduk disitu, kita harap ia tidak menjadi sebab kenapa bantuan lambat diberikan.

“Tambahan pula rumah Ustaz Wan Roslan sendiri terletak di Kampung Kutan, sewajarnya beliau mengusahakan agar bantuan kepada rakyat dapat disegerakan, sama ada di Kampung Ketil dalam DUN yang diwakilinya, mahupun di Kampung Kutan Tengah tempat kejiranannya,” kata Wan Johari lagi.

Kerajaan Pas Kelantan sejak awal pelaksanaan PKP pada Ramadhan lalu sehingga hari ini, masih gagal memberikan sebarang bentuk bantuan kewangan kepada rakyat yang terkesan, walaupun sebelum ini sudah menerima RM400 juta, mampu membeli kereta mewah jenama Mercedes Benz kepada barisan Exconya serta meluluskan kenaikan elaun kepada semua Adunnya.