Malaysia Dateline

PKPD tidak diteruskan di penjara

Jabatan Penjara Malaysia menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada semalam yang mengumumkan untuk tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan institusi penjara.

Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Penjara berkata, perkembangan positif tersebut adalah petanda awal terhadap kejayaan untuk melandaikan lengkungan jangkitan.

Tambahnya, situasi penularan Covid-19 dalam kalangan institusi penjara juga semakin terkawal dengan catatan kes harian yang rendah selepas kuarantin dan ‘lockdown’ dikenakan terhadap tahanan reman serta banduan.

“Bermula 1 September hingga 2 November 2020, Jabatan Penjara bersama KKM telah melaksanakan 63,730 saringan ke atas banduan, staf serta ahli keluarga dari semua institusi penjara seluruh negara.

“Bagi merawat dan mengasingkan individu yang telah disahkan positif, Jabatan Penjara juga telah mengkuarantinkan semua banduan, staf dan ahli keluarga serta kontak rapat yang berpotensi untuk dijangkiti Covid-19.

“Pada 15 Oktober 2020 juga, arahan penangguhan penghantaran banduan kepada Jabatan Penjara oleh semua agensi penguatkuasaan telah dikeluarkan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 melalui Banduan Reman (BR) atau Orang Kena Tahan (OKT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, PKPD dilaporkan tidak akan diteruskan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam, Penjara Sungai Petani dan Pusat Koreksional Perlis.

Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia juga komited mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perjumpaan serta program yang melibatkan banduan.

Malah, pihak jabatan katanya akan terus menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menerima, mengiring serta menguruskan banduan dari masa ke masa bagi mengelakkan masalah sama daripada berulang.