Malaysia Dateline

PKPIM desak kerajaan jangan pandang enteng titah Agong

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak pihak kerajaan untuk tidak memandang enteng titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja tentang pembukaan Parlimen.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, dalam suasana kritikal, Parlimen perlu bersidang sesegera mungkin bagi memastikan mekanisma semak imbang dan semangat musyawarah demokrasi Malaysia dapat dipulihkan.

“Dewan Rakyat harus bersidang dengan satu tempoh masa yang munasabah bagi Ahli-ahli Parlimen mengemukakan kerisauan mereka terhadap beberapa isu dan membahaskan polisi berkaitan pengurusan Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara.

“PKPIM berpendirian jelas, negara memerlukan satu kepimpinan yang meyakinkan serta kerajaan yang stabil bagi memastikan usaha-usaha menangani wabak pandemik, krisis ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat dapat dijalankan secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, PKPIM turut menjunjung kasih dan menzahirkan sokongan atas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berkenaan pengurusan Covid-19 dan kestabilan negara pada waktu ini.

“Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan institusi istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya semak dan imbang sebagai mekanisma penting untuk mengelakkan salah laku, ketirisan dan ketidakcekapan dalam pengurusan krisis pandemik Covid-19,” katanya lagi.