PKPIM gesa Hadi tarik balik sindiran mata lebam Anwar

PKPIM gesa Hadi tarik balik sindiran mata lebam Anwar

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Presiden Pas supaya menarik balik sindirannya mengenai tragedi mata lebam yang dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim 20 tahun lalu.

Presidennya, Muhammad Khair Sujud berkata, golongan ulama perlu tampil menunjukkan teladan baik kepada pengundi dan rakyat dalam usaha menumbangkan kleptokrasi dan kezaliman demi reformasi dan kesejahteraan.

Menerusi surat terbuka kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ana tahu enta lebih tahu’, beliau berkata, tidak ada yang lebih dibenci agama melainkan jenaka yang menghina peribadi orang lain.

Muhammad Khair Sujud

Lebih-lebih lagi, jelasnya, hal tersebut datang daripada seorang pemimpin yang baik kepada seorang pemimpin yang baik.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) tahu bahawa ‘bekas gocoh’ itu merupakan harga pengorbanan dan kesan perbuatan fitnah jahat.

“Betapa hampanya ana dan kawan-kawan mendengar sindiran Tuan Guru yang bersabit dengan mata Anwar Ibrahim yang hanya sebahagian kecil daripada luka-luka perjuangan beliau.

“Justeru, ana mohon agar Tok Guru menarik balik kenyataan tersebut secara terhormat,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Khair mengulas ucapan Abdul Hadi yang mempersoal kesahihan kes mata lebam Anwar pada 1998 di Majlis Pengisytiharan Calon Pas Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 25 April lalu.

“Sekarang guna simbol mata (merujuk lambang PKR), mata lebam biru, lebam merah, (bekas) kena gocoh, bekas kena tumbuk.

“Tiba-tiba yang kena tumbuk dan yang tukang tumbuk bersatu, …(jadi) kena tumbuk sungguh ke? Atau pura-pura saja?

“Macam filem Tamil, kena sekali tumbukan, jatuh berguling-guling, yang tengok menangis sedih, padahal tidak ada apa-apa, satu lakonan saja,” dakwa Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Khair berkata, akibat ucapan Abdul Hadi itu wujud segelintir penyokong Pas yang memainkan perkara tersebut dalam perbualan dan kempen mempertahankan parti berkenaan.

“Ya, Tuan Guru (Hadi) mungkin tidak manafikan tuduhan jijik itu terhadap Anwar Ibrahim. Tetapi, kesan kenyataan Tuan Guru itu, sekarang timbul dalam perbualan penyokong Pas; “Anwar liwat atau Mahathir fitnah?”.

“Runtun jiwa kami mendengar dakwaan liwat yang dihukum qazaf dalam agama dipermainkan sebagai bahan politik,” ujarnya lagi.

CATEGORIES
TAGS