Malaysia Dateline

PKPS nafi ceroboh hutan simpan, akan saman aktivis buat tohmahan liar

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Gabungan Perlindungan Hutan Selangor (CPSF) kerana menuduh PKPS cuba menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam baru-baru ini.

PKPS dalam kenyataannya merujuk kepada dua laporan portal berita yang memetik kenyataan media gabungan terbabit serta kenyataan Pengarah Global Environmental Centre (GEC), Faizal Parish dalam program temu bual Consider This, pada 2 September lalu.

PKPS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mendakwa mereka menceroboh sebahagian Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang yang dikatakan sebagai hutan ganti ekoran penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

“PKPS menegaskan bahawa isu nyahwarta HSKLU tiada kaitan langsung dengan pihak PKPS. Dakwaan itu secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan negeri yang telah dirancang bagi rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPS berkata, pihak terbabit cuba mengaitkan isu nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang sedang dalam rancangan untuk dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

Bagaimanapun PKPS menjelaskan bahawa tanah tersebut adalah hak milik PKPS berstatus pertanian dan bukan berstatus hutan simpan.

“Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan tohmahan liar itu merupakan tanah hak milik PKPS berstatus pertanian dan bukan berstatus HSK seperti yang telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bertarikh 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, PKPS menegaskan bahawa kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan gabungan ngo serta Faizal Parish adalah bersifat ‘mala fide’ serta mempunyai unsur mengaitkan PKS dengan agenda tersendiri.

Ujarnya, pihak terbabit seharusnya mendapatkan laporan dan penjelasan terlebih dahulu dari PKPS atau kerajaan negeri sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas seperti itu.

“Bagi memastikan penyebaran berita palsu seperti ini tidak berulang, PKPS akan mengambil tindakan undang-undang dan tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat kerana cubaan merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan negeri dengan membuat tuduhan tidak benar,” katanya lagi.