Malaysia Dateline

PKR 2.0 dalam Bersatu?

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Apabila memerhati kepada perkembangan yang kepada PKR oleh lompatan kutu politik dari satu kepala kepada satu kepala, adalah dirasakan seolah-olah wujudnya PKR 2.0 dalam Bersatu pula.

Tidaklah juga dirasakan perkembangan terkini dalam lompatan kutu politik dibuat oleh keputusan secara mendadak atau tiba-tiba. Rancangan ini telah disusun sejak bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sejak beliau meninggalkan PKR.

Sama ada kebetulan atau pun mengambil kesempatan setelah Yang Di-Pertuan Agong membuat kenyataan bahawa parlimen boleh bersidang pada satu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, lompatan kutu politik pun berlaku.

Sehingga artikel ditulis dengan mengira Dr Xavier, sejumlah 12 Ahli Parlimen Pro Azmin telah berpaling tadah ialah ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; ahli parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah; ahli parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon; ahli parlimen Bandar Tun Razak, Kamaruddin Jaffar; ahli parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman; ahli parlimen Segamat, Santhara Kumar; ahli parlimen Saratok Ali Biju; ahli parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, dan ahli parlimen Ranau Jonathan Yasin.

Malah terdapat dakwaan mengatakan ada lagi ahli parlimen yang akan meninggalkan PKR. Daripada 12 ahli parlimen, 10 termasuk Azmin telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sidang media Azmin bersama penyokongnya dahulu. Apakah kesemua mereka akan meninggalkan PKR?

Mereka adalah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Seri Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Jika dilihat kepada perkembangan yang berlaku ini bermakna Bersatu membenarkan anggota bersekutunya dari kalangan bukan Melayu menjadi ahli. Realitinya Bersatu tidak dapat menolak kerana memerlukan pengaruh Azmin yang mampu menarik sokongan lebih 200,000 penyokong akar umbi dari Penggerak Komuniti Negara dan NGO pro-PKR. Beliau telah berjaya membawa wakil-wakil rakyat atau pemimpin dari kalangan masyarakat bukan Melayu untuk menyertai Bersatu.

Persoalannya adakah Bersatu akan menjadi parti berbilang kaum? Langkah menjadikan Bersatu sebagai parti pelbagai kaum boleh menyebabkan penentangan akar umbi yang lebih “konservatif”, bukan hanya dari luar parti tetapi juga dari dalam parti itu sendiri.

Bukankah antara matlamat penubuhan Bersatu ialah mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak yang sah untuk semua kaum.

Perkembangan yang berlaku ini juga menunjukkan pengaruh kuat Azmin dalam Bersatu dan kemungkinan dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu dapatkah Bersatu menggabungkan nasionalisme Melayu dan politik pelbagai kaum.

Adakah akan adanya PKR 2.0 dalam Bersatu? Mereka yang dahulunya sebagai Ahli Pimpinan Pusat PKR tentu hendak memegang jawatan dalam Bersatu selain yang sedia memegang jawatan menteri.

Bagaimana Xavier dan Tin Chua misalnya, adakah mereka akan menganggotai Bersatu? Atau adakah mereka menjadi ahli Gerakan? Gerakan telah diterima menjadi anggota parti Perikatan Nasional (PN).

Dari segi latarnya pergolakan dalaman yang berlaku dalam PKR pada ketika ini sebenarnya bertitik tolak sejak tiga tahun lalu dengan pemilihan Timbalan Presiden parti. Pertembungan antara Azmin dan Mohd Rafizi Ramli untuk mengisi jawatan itu dilihat kemuncak awal perpecahan parti itu.

Kalau kita lihat pada pergolakan yang berlaku sekarang, ia bermula pada 2018 dengan pertempuran dua pemimpin itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara terang-terangan menyokong Mohd Rafizi.

Kemuncak kepada episod itu berlaku dengan ‘Langkah Sheraton’ apabila Azmin dan beberapa pemimpin yang menyokong beliau keluar dari PKR dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
————
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)