Malaysia Dateline

PKR akan bincang PPSMI

PKR akan membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat parti itu, kata Setiausaha Agong PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata PKR setakat ini belum ada pendirian berhubung PPSMI kerana perkara itu baru diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera. Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh perdana menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan barisan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkan PPSMI.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya soalan yang sama berkata beliau menyerahkan cadangan pelaksanaan semula PPSMI kepada Kabinet untuk membincangkannya.

“Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di Kabinet,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

— BERNAMA