Malaysia Dateline

PKR akar umbi gesa PH Selangor kekal tolak Bersatu

Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor digesa bertegas dan kekal terhadap ketetapan untuk tidak melibatkan Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PKR Cabang Selayang, Nazrin Mazlan berkata, pimpinan PH juga tidak harus membelakangkan mandat rakyat dengan membuat sebarang kenyataan bercanggah.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, sokongan sebahagian wakil rakyat Bersatu hari ini terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari adalah bercanggah dengan keputusan pimpinan tertinggi Bersatu.

Pada 23 Februari lalu, Bersatu melalui satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu memutuskan untuk meninggalkan gabungan PH yang telah diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 lalu.

Petang tadi, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga Pengerusi PH negeri mengumumkan penyingkiran Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Ekoran itu, lima Adun dari Bersatu sekarang adalah pembangkang di DUN Selangor.

Mereka ialah Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Walau bagaimanapun, selang beberapa jam selepas pengumuman penyingkiran itu kesemua mereka kecuali Abdul Rashid yang merupakan Pengerusi Bersatu Selangor dan dan Naib Presiden Bersatu mengisytiharkan kekal menyokong PH di negeri itu.

Ekoran pengumuman terbaru Amirudin, PH Selangor kini mempunyai 43 wakil rakyat daripada 56 kerusi DUN.

DUN Selangor pada masa ini terdiri daripada PKR (19), DAP (16) AMANAH (8), manakala Perikatan Nasional terdiri daripada Umno (5), Pas (1) dan Bersatu (5) serta Bebas (2).