Malaysia Dateline

PKR ambil pendekatan baharu di Sarawak, kata Dr Teo

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak perlu mengambil pendekatan baharu dan memikirkan soal masa hadapan parti itu di negeri ini, menurut Naib Presidennya, Dr Michael Teo Yu Keng.

Justeru, beliau menyifatkan pelantikannya sebagai Naib Presiden PKR Sarawak dilihat merupakan salah satu inisiatif dalam memulihkan imej parti selepas insiden beberapa pemimpin yang keluar baru-baru ini.

“Perletakan jawatan beberapa orang pemimpin dan ahli di Sarawak mencetuskan isu yang besar, malah memburukkan imej kita dan merosakkan reputasi parti.

“Bila satu kumpulan keluar, satu kumpulan lagi masuk. Saya melihat yang berlaku ketika ini adalah sebagai satu permulaan baharu kepada parti untuk terus bekerja keras, memulihkan imej parti dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam usaha memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak dan Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

“Semangat bersatu padu antara ahli semakin kuat dan dengan peningkatan bilangan ahli baharu, maka kita tidak ada masalah untuk mara ke hadapan,” katanya.

Jelas beliau lagi, kemajuan alat teknologi dalam komunikasi banyak membantu menyatupadukan semula ahli dan mengelakkan daripada sebarang salah faham.

Katanya, sebelum ini perlu terbang ke Kuching untuk melakukan pertemuan dan hanya segelintir anggota yang dapat hadir, tetapi sekarang hanya perlu menggunakan Zoom untuk berhubung sesama dalam kumpulan.

“Ini sebenarnya menjimatkan banyak masa dan tenaga, dan dapat membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi.

“Di samping itu, kita juga dapat berkomunikasi dengan para pemimpin akar umbi di kawasan pedalaman sekali gus membantu kita untuk memulihkan imej parti,” tegas Dr Teo.