Malaysia Dateline

PKR Baram terus perjuangkan pemilikan tanah NCR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram di Sarawak terap meneruskan perjuangan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Ketua Cabang PKR Baram, Roland Engan berkata, selain tanah hak NCR, pihaknya turut memperjuangkan hak beragama serta pembangunan sama rata rakyat di Sarawak.

Justeru, beliau mengajak mana-mana parti yang berminat untuk bekerjasama dalam memperjuangkan agenda itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

“Kita akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai asas perjuangan yang sama iaitu membantah penguasaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan keadilan untuk semua rakyat.

“Matlamat perjuangan ialah membantah usaha GPS dalam memiliki dan menguasai Baram melalui pemberian Pajakan Sementara (PL), Lesen Penanaman Hutan (LPF) dan pembinaan empangan hidro mega tetapi pada masa sama rakyat masih disisihkan.

“Kami persilakan mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan PKR Baram. Walaupun ada kerjasama dengan parti politik lain, asas perjuangan yang dimulakan PKR masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, perjuangan parti adalah untuk rakyat yang tidak dapat berjuang sendiri kecuali melalui undi.

Sehubungan itu, Roland menambah, PKR Baram akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Marudi, Telang Usan dan Mulu dalam PRN Ke-12 kelak.

Mengulas tindakan Paul Baya yang keluar dari PKR Baram, beliau berkata, pihaknya terkejut dan sedih namun menerima keputusan itu dengan terbuka.

“Kami menghormati keputusan beliau yang merupakan seorang yang berdedikasi dan sanggup bersama rakyat biasa dalam banyak aktiviti memperjuangkan hak di Baram.

“Beliau telah meninggalkan legasi positif untuk dijadikan landasan pemimpin dan ahli yang masih menjadikan PKR sebagai platform bagi meneruskan perjuangan rakyat dan perjuangan parti,” ujar beliau lagi.