Malaysia Dateline

PKR Batang Sadong gesa kerajaan serius tangani masalah dadah

Parti Keadilan Sarawak (PKR) Cabang Batang Sadong menggesa Kerajaan Negeri Sarawak supaya serius dalam menangani masalah dadah di kawasan terbabit.

Menurut Ketua Cabang PKR Batang Sadong, Piee Ling, pihak berwajib dan kerajaan perlu melihat situasi tersebut dengan serius dan bukannya setakat menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur semata-mata.

Katanya, beliau sering mendapat aduan yang menyatakan masalah penularan penggunaan dadah di kalangan anak muda di kawasan Sadong Jaya semakin meningkat ketika ini.

Ini ditambah lagi, jelas beliau akibat kekurangan peluang pekerjaan serta pelajar-pelajar yang tercicir persekolahan menyebabkan mereka lebih selesa melepak dan membuat pelbagai aktiviti untuk memenuhi masa lapang.

“Akibat pergaulan ini, perasaan ingin mencuba sesuatu yang baharu semakin memuncak. Bermula dengan sekadar cuba-cuba, akhirnya terjebak dengan ketagihan.

“Ekoran ketiadaan wang untuk membeli bekalan dadah sebagai memenuhi ketagihan, akhirnya mereka mencari jalan mudah dengan mencuri.

“Malah, saya juga dimaklumkan oleh penduduk di sekitarnya mengenai kegiatan mencuri hasil pertanian dan kejadian pecah rumah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa,” ujar Piee.

Justeru, tambahnya keadaan ini bakal merosakkan keharmonian penduduk dan perlu ditangani segera.

“Kepada pihak berwajib dan kerajaan, mereka perlu melihat situasi ini dengan serius. Bukan setakat menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur tetapi seimbangkan dengan pembangunan insan.

“Banyakkan program pembangunan insan yang boleh dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan adanya peruntukan sedia ada yang banyak disalurkan Kerajaan Negeri Sarawak melalui wakil rakyat masing-masing,” tegas beliau.