Malaysia Dateline

PKR Batang Sadong sokong ‘agrarian reform’ di Sarawak

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batang Sadong menyokong penuh reformasi pentadbiran tanah Sarawak yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya menerajui Kerajaan Negeri Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Menurut Ketua Cabangnya, Piee Ling, agenda reformasi tanah ini juga merupakan antara manifesto PH pada PRN12 nanti.

Jelas beliau, konsep yang dipelopori oleh PKR Sarawak ini dirangka bertujuan untuk memberi pemilikan
tanah secara sah kepada penduduk yang tidak mempunyai tanah.

“Pelaksanaan konsep yang dinamakan ‘agrarian reform’ atau pembaharuan agrarian adalah diyakini mampu mengatasi sepenuhnya isu-isu tanah termasuk pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

“Adaptasi daripada model skim FELDA di Semenanjung Malaysia yang mana setiap keluarga diperuntukkan sebanyak 10 ekar kepada setiap isi rumah untuk dibangunkan.

“Ia akan menjadi teras reformasi ini dengan penambahbaikan yang sesuai dengan keadaan negeri Sarawak.

“Manakala konsep agrarian yang akan diperkenalkan nanti mampu memberi peluang kepada setiap peserta membangunkan tanah dengan tanaman komersial dalam tempoh 15 tahun sekali gus memiliki sendiri tanah yang diusahakan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tegas Piee lagi, konsep agrarian ini turut mengambil contoh pelaksanaan pembaharuan tanah untuk pertanian di Filipina yang menggalakkan peserta menceburi bidang tanaman komersial secara besar-besaran seterusnya membangunkan kawasan sekitarnya.

“Sebenarnya, agrarian reform ini merupakan usaha komprehensif yang akan memberi manfaat kepada penduduk yang tidak memiliki tanah terutamanya kaum Melayu/Melanau berbanding dengan bumiputera Sarawak yang lain.

“Mereka ini telah memiliki tanah NCR yang luas yang diwarisi daripada nenek moyang dan akan
diberi pemilikan mengikut undang-undang baharu yang akan diperkenalkan nanti,” tambahnya.

Justeru, katanya lagi dengan konsep ini, ia akan memberi keadilan kepada seluruh rakyat Sarawak yang sememangnya diketahui memiliki tanah yang luas di Malaysia dan bukannya hanya dimiliki
oleh syarikat-syarikat besar.

“Semoga agenda reformasi tanah ini akan mendapat perhatian serius semua rakyat Sarawak dalam menilai
keberkesan pemerintahan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengurus sumber tanah di negeri ini.

“Jika mahukan reformasi pengurusan tanah yang komprehensif, maka berilah peluang PH pada PRN12 kelak,” tegas beliau