PKR belum yakin cadangan adakan PRN Pulau Pinang, kata Wan Azizah

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam memutuskan sebulat suara bahawa mereka masih belum yakin dengan kewajaran cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang yang dicadangkan DAP.

“Selepas perbincangan yang menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan masyarakat madani (civil society), mesyuarat telah memutuskan secara sebulat suara bahawa KEADILAN masih belum yakin dengan cadangan tersebut.

“Walau bagaimanapun, dalam semangat setiakawan, KEADILAN tetap bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan parti rakan di dalam Pakatan Harapan,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PKR dalam satu kenyataannya hari ini.

Justeru, katanya, PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertinggi parti untuk menerangkan pendirian ini kepada pimpinan DAP dalam masa terdekat.

PKR telah mengadakan satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas malam tadi yang membincangkan cadangan DAP untuk mengadakan pilihanraya negeri bagi Pulau Pinang.

Menurut Wan Azizah, sebagai rakan politik di dalam Pakatan Harapan, PKR akan terus bersama berjuang untuk mempertahankan mereka yang dianiaya dan dizalimi, termasuk di dalam kes pendakwaan politik Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi pimpinan yang bangkit melawan rejim UMNO-Barisan Nasional.

“KEADILAN beranggapan bahawa dakwaan terhadap YAB Lim Guan Eng adalah bermotif politik,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)