PKR beri surat tunjuk sebab kepada Haziq

PKR beri surat tunjuk sebab kepada Haziq

Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan bahawa Haziq Abdullah Abdul Aziz, Ketua AMK Santubong akan diberikan surat tunjuk sebab kerana telah mencemarkan nama parti dan merosakkan reputasi serta keperibadian pemimpin parti berkenaan.

Dalam satu kenyataan petang ini, ia juga turut menyatakan bahawa Lembaga Disiplin turut mengambil maklum penafian Timbalan Presiden parti, Mohamed Azmin Ali dan akan meneliti sebarang penjelasan sekiranya diberikan.

Lembaga Disiplin PKR telah bersidang pada hari ini untuk membincangkan isu video lucah sekali gus memperakui kenyataan pimpinan Biro Politik minggu lalu bahawa PKR menolak politik lucah dan jijik.

“Kami juga menunggu siasatan serta dapatan daripada PDRM atau pihak lain yang berotoriti terlebih dahulu.

“Lembaga Disiplin juga ingin memberi amaran keras kepada semua anggota parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada pimpinan parti,” kata kenyataan itu lagi.

Ia juga turut menyeru anggota yang cinta dan kasihkan perjuangan parti supaya berganding bahu untuk memperkuatkan keutuhan parti.