Malaysia Dateline

PKR bertanding 14 kerusi DUN Sabah

PKR memutuskan akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada 26 September depan.

Ketua Penerangan MPN PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, pertambahan kerusi yang dipertandingkan itu seiring dengan peningkatan bilangan kerusi DUN dari 60 sebelum ini kepada 73 kerusi.

Jelasnya, dua rundingan terakhir PKR-Warisan turut melibatkan Datuk Seri Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi parti.

Sebanyak 14 DUN berkenaan ialah N.20 Api-Api, N.18 Inanam, N.09 Tempasuk, N.14 Tamparuli, N.05 Matunggong, N.32 Klias, N.45 Sook, N.43 Kemabong, N.61 Segama, N.27 Limbahau, N.51 Sg Manila, N.31 Membakut, N.08 Pintasan dab N.23 Petagas

“Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina. PKR ingin mempunyai calon di segenap pelusuk Sabah.

“Kali ini, PKR melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka baharu anak muda dan wanita.

“Ini komitmen parti untuk mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan Negeri yang diterajui Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan di Sabah dengan PKR bertanding di sembilan kerusi DUN, iaitu Inanam, Tempasuk, Kadamaian, Moyog, Karanaan, Matunggong, Tamparuli, Kuala Penyu dan Api-Api.

Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu, meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.