Malaysia Dateline

PKR Borneo tetap sokong Anwar

PKR Borneo mewakili Sabah dan Sarawak menyatakan sokongan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Naib Presidennya, Dr Michael Teo Yu Keng berkata, pendirian tersebut selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan mencalonkan Pengerusi PH itu sebagai PM dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“PKR Borneo akan terus bersama dengan Anwar dalam memartabatkan serta meneruskan agenda reformasi bersama PH dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sokongan dinyatakan kepada Anwar susulan wujudnya pilihan ketiga yang dikatakan mahu mengangkat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan mewakili PH Plus.

Pencalonan Ketua Menteri Sabah itu dibangkitkan dalam satu pertemuan tidak rasmi antara Warisan, AMANAH, DAP dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad selepas perselisihan menentukan calon PM terus menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, hasil perbincangan AMANAH bersama jawatankuasa pimpinannya berpendapat soal pencalonan itu wajar diputuskan bersama dalam Majlis Presiden PH.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad pada 30 Jun berkata, hal tersebut demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani kebuntuan yang sedang berlaku ketika ini.

DAP Sabah pula menunjukkan isyarat yang berbeza apabila menyokong cadangan mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri dan mahu semua Ahli Parlimen Malaysia Timur, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) melakukan perkara yang sama.